Jumaat, 2 Disember 2011

PERIBAHASA HARI INI



Menyisip keris tak bersarung di pinggang.


Bermaksud

Memelihara anak tanpa memberi ilmu pengetahuan akhirnya menyusahkan ibu bapanya juga.

Penjagaan anak adalah menjadi tanggungjawab yang mesti dipikul ibu bapa. Allah menegaskan melalui firman yang bermaksud: “Allah telah mewasiatkan ke atas kamu mengenai anak kamu.” (Surah an-Nisa, ayat 11)

Allah menurunkan al-Quran kepada Rasulullah SAW lengkap dengan pengajaran, adab kesopanan dan akhlak yang luhur. Oleh itu, akhlak dan moral dalam pendidikan tentunya bersaling kait dengan sistem hidup Islam itu sendiri.

Hanya sistem yang didirikan atas paksi tauhid mampu membentuk satu dasar akhlak yang luhur dan tulus. Dari Mu’az bin Jabal, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bahawa Allah mengelilingkan agama Islam dengan budi pekerti yang mulia dan amal perbuatan yang baik.”

Oleh itu, sesuai kedudukan rumah sebagai pusat atau institusi pendidikan pertama maka ibu bapalah bertanggungjawab memberi didikan awal kepada anak terutama dalam pendidikan akhlak. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada satu pemberian daripada ibu bapa kepada seorang anak yang lebih utama daripada memberi pengajaran adab sopan yang baik.”

Ibu bapa perlu bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tanggungjawabnya mendidik anak supaya berakhlak. Kelalaian dan kegagalannya dalam melaksanakan tanggungjawab itu bukan hanya akan menyumbang kepada gejala sosial dan keruntuhan akhlak malah merencatkan pembangunan modal insan.

Abdullah Ibnu Abbas berkata: “Kerjakanlah amal ibadat dengan mentaati perintah Allah dan peliharalah diri kamu daripada melakukan perkara menderhakai Allah. Perintahkanlah anak kamu dengan menjunjung titah perintah dan menjauhi segala larangan. Maka yang demikian itu akan menyelamatkan kamu daripada neraka.”

Ibu bapa yang baik agamanya tentu akan mengajar anak mereka tentang adab dan akhlak. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ajarkanlah anak kamu tiga perkara. Pertama, ajarkanlah anak cinta kepada Nabi. Kedua, cinta kepada ahli keluarganya. Ketiga, membaca al-Quran kerana orang yang membaca al-Quran itu berada di bawah naungan Arasy Allah di mana tiada naungan melainkan naungan Allah.”

Jadi, sangat penting bagi ibu bapa mendalami ilmu keibubapaan untuk menjamin institusi keluarga yang  bahagia dan berperibadi mulia.



❤❤❤KALAU SUKA LIKE...JANGAN LUPA KOMEN TAU...TQ❤❤❤

Catat Ulasan

Assalamualaikum, sila tinggalkan komen anda.
Insya Allah komen anda akan dilayan :)

Sila datang lagi ya,TQ❤❤❤....

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...