Ahad, 20 November 2011

Abakus dan Aritmetik Mental


Kebolehan menyelesaikan masalah matematik merujuk kepada kemampuan murid menyelesaikan masalah matematik yang merangkumi masalah rutin dan masalah bukan rutin. Menurut Aziz (2002), sekiranya penyelesaian masalah hanya mengaplikasikan algoritma yang telah dipelajari, maka ia disebut sebagai masalah rutin.
Manakala sekiranya seseorang murid perlu berfikir secara mendalam untuk mengaplikasikan konsep asas matematik untuk menyelesaikan masalah yang diberikan, ia dinamakan masalah bukan rutin. Masalah yang berkait dengan kurikulum sekolah rendah lazimnya merupakan masalah rutin yang berbentuk masalah bersimbol dan masalah berayat (Ong & Yoong, 2003).

Menurut Noor Azlan (1995), dalam sejarah perkembangan pendidikan matematik di Malaysia, kurikulum mata pelajaran itu telah mengalami banyak perubahan sejak merdeka hingga sekarang. Kementerian Pelajaran Malaysia peka terhadap kualiti pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Banyak usaha telah dijalankan untuk meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran matematik. Justeru, pihak kerajaan telah memperkenalkan pelbagai pendekatan yang kreatif dan inovatif untuk meningkatkan kebolehan murid dalam menyelesaikan masalah matematik. Bagi merealisasikan hasrat ini, penggunaan abakus telah diperkenalkan sebagai satu strategi untuk meningkatkan pengajaran dan pembelajaran matematik di sekolah rendah. Penggunaan abakus-aritmetik mental dipercayai akan meningkatkan kemahiran mengira dan kebolehan menyelesaikan masalah matematik dalam kalangan murid (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2000).


Dalam kaedah abakus-aritmetik mental, pembelajaran matematik menggunakan visual melalui manik-manik abakus, bunyi dan kemahiran psikomotor dengan gerakan jari pada abakus. Murid menjalankan pengiraan mental dengan wujudnya gambaran visual abakus di kepala terlebih dahulu, kemudian menggerakkan manik-manik abakus dalam mental seakan-akan menggerakkan manik abakus yang sebenar dengan jari. Kaedah mental ini telah menunjukkan murid tersebut berkebolehan mengira dengan sangat pantas dan tepat. Kajian ini juga selaras dengan kajian oleh Hayashi (2000) dan Kawano (2000) di negara Jepun. Kaedah ini melibatkan murid secara aktif dan stimulasi otak dengan menjana kecerdasan minda untuk meningkatkan prestasi dan kebolehan menyelesaikan masalah matematik.

Kajian terkini oleh Hayashi (2000) dan Kawano (2000) juga menunjukkan bahawa kaedah abakus-aritmetik mental dapat mengembangkan otak kanan murid. Biasanya, proses pengiraan berlaku di sebelah otak kiri manusia kerana notasi matematik diolah ke bentuk perkataan, manakala murid yang mempelajari abakus-aritmetik mental akan membayangkan imej abakus dalam otak kanannya. Murid tersebut tidak mengolahkan perkataan dalam pengiraan. Kajian ini telah dibuktikan oleh Kawano (2000) di Jepun yang telah mengukur gelombang otak murid semasa menjalankan aritmetik mental menggunakan alat electroencephalography (EEG).
Krampner (1994) telah menghebohkan kepentingan penggunaan abakus dalam artikelnya yang bertajuk "Ancient Abacus: Elegant, Accurate, Fun to Operate: Bead Counting Still Counts in Computer Age". Alat mengira yang mudah ini telah menarik perhatian sedunia. Kim (2003) berpendapat bahawa negara-negara Asia seperti Singapura, Taiwan, China dan Jepun malah Malaysia turut dipengaruhi oleh arus penggunaan abakus. Banyak akademi swasta, misalnya Akademi Mental Aritmetik UCMAS, ALOHA dan TODAYS yang berasal dari negara China dan Taiwan telah tumbuh bagai cendawan di Malaysia.

Mulai tahun 2005, abakus-aritmetik mental telah dimasukkan dalam kurikulum matematik tahun satu. Keberkesanan pelaksanaan abakus-aritmetik mental ini akan menjadi isu baru yang akan menarik perhatian masyarakat. Walau bagaimanapun, kajian keberkesanan abakus-aritmetik mental untuk meningkat-kan kebolehan menyelesaikan masalah matematik di Malaysia masih kurang dan amat perlu dilaksanakan.










❤❤❤KALAU SUKA LIKE...JANGAN LUPA KOMEN TAU...TQ❤❤❤

Catat Ulasan

Assalamualaikum, sila tinggalkan komen anda.
Insya Allah komen anda akan dilayan :)

Sila datang lagi ya,TQ❤❤❤....

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...