Sabtu, 30 Mac 2019

WAJARKAH PROGRAM LINUS DIHENTIKAN?



PENGENALAN
Sistem pendidikan di Malaysia kini bergerak begitu pantas seiring kepesatan negara di era milenium kini. Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia telah mempunyai rancangan tersendiri dan melaksanakan berbagai perubahan yang mantap ke arah merealisasikan hasrat negara maju menjelang wawasan 2020. Perubahan dalam arena pendidikan negara mula menampakkan hasil daripada pelbagai dasar, akta, laporan, ataupun penyata seperti Dasar Pendidikan Negara, Laporan Razak 1956, Laporan Rahman Talib 1960, Akta Bahasa Kebangsaan 1967, dan Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979.

LATAR BELAKANG LINUS
Kemahiran literasi awal adalah penting bagi kanak-kanak kerana kemahiran ini boleh membantu meningkatkan prestasi pembelajaran kanak-kanak pada masa yang akan datang. Kanak-kanak yang ketinggalan dalam menguasai kemahiran literasi awal cenderung untuk berjuang dengan bacaan dan menulis. Akibatnya, kanak-kanak cenderung untuk menerima, kurang amalan dan minat terhadap membaca dan kurang terdedah kepada pengetahuan kandungan, perbendaharaan kata dan kemahiran bahasa yang lain daripada sifat kanak-kanak yang mendapat penguasaan literasi yang lebih awal sebelum mereka didaftarkan masuk ke alam persekolahan di peringkat rendah lagi.

Di Malaysia, penguasaan kemahiran literasi awal telah menjadi tumpuan yang hangat sejak dulu lagi. Sistem pendidikan Malaysia dan isu ini adalah terutamanya menjadi isu hangat dan kritikal dalam tahun 1960-an (Nazariyah & Abdul Rahman, 2013). Banyak program telah dilaksanakan bagi membantu kanak-kanak dalam penguasaan literasi pada peringkat awal namun, isu buta huruf dalam kalangan anak-anak muda masih menjadi masalah sebenar. Pada tahun 2011, Menteri Pertahanan Malaysia, Abdul Latiff Ahmad, mendedahkan bahawa hampir 1,000 daripada 11,000 belia yang dipilih untuk latihan khidmat negara (PLKN) buta huruf (Modul Khas untuk Khidmat Negara Pelatih: Malaysia, 2011). Selain itu, ia adalah dilaporkan dalam akhbar The Star bahawa 3 orang pelajar telah dihalang daripada menduduki Sekolah Rendah mereka Ujian Penilaian (UPSR), disebabkan oleh prestasi akademik mereka.

Selain daripada itu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mendapati bahawa ada murid yang tidak mempunyai masalah pembelajaran yang masih belum menguasai kemahiran asas 3M dengan baik belum dapat diatasi sepenuhnya walaupun KPM telah melaksanakan pelbagai program pemulihan. Antaranya ialah Program KIA2M untuk murid Tahun 1 yang mula dilaksanakan pada tahun 2006, program pemulihan untuk murid Tahun 2 dan 3 yang dikendalikan oleh guru pemulihan khas di sekolah masing-masing, Program Pemulihan Asas Kemahiran Membaca, Menulis dan Mengira (PROTIM) untuk murid Tahap 2, dan PROTIM selepas UPSR. Ekoran daripada isu yang timbul, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengambil satu inisiatif untuk mengadakan satu program yang lebih baik dan berkesan supaya semua kanak-kanak di Malaysia mempunyai asas yang stabil dalam kemahiran awal literasi.

Sejajar dengan itu, KPM berpendapat suatu pendekatan yang bersepadu perlu dilaksanakan supaya masalah literasi dan numerasi dapat dikesan dan dipulihkan seawal Tahap 1. Perkara ini perlu diberi perhatian yang serius kerana murid yang tidak menguasai kemahiran asas 3M merupakan kumpulan yang berisiko keciciran dan berhadapan dengan kesukaran memenuhi keperluan melanjutkan pelajaran dan kerjaya. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah memperkenalkan program yang dikenali dengan Program LINUS.

TAKRIFAN LINUS
LINUS merupakan akronim daripada Literacy and Numeracy Screening dan bermanfaat bagi membantu murid-murid di sekolah rendah, di Tahap 1 bermula dari tahun 1 hingga 3 yang agak tercicir dalam penguasaan kemahiran asas 3M, iaitu membaca, menulis, dan mengira. Semua guru tahun satu yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu diwajibkan mengikuti kursus pengajaran dan pembelajaran modul LINUS mulai tahun 2010 yang dikendalikan oleh Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia. Program ini dilaksanakan secara wajib di semua Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Terdapat tiga peringkat saringan, iaitu Saringan 1 (Tahun Satu), Saringan 2 (Tahun Dua), dan Saringan 3 (Tahun Tiga). LINUS 2.0 pula adalah lanjutan daripada program LINUS sebelumnya diperkenalkan pada tahun 2012 dengan tambahan LINUS Bahasa Inggeris ( LBI ). Instrumen saringan LINUS 2.0 direka berdasarkan dua belas asas literasi dan konstruk numerasi dan item bagi setiap instrumen dibina berdasarkan kedalaman kandungan.

Literasi ditakrifkan sebagai keupayaan membaca, menulis dan memahami perkataan dan ayat yang mudah dan kompleks dan mengaplikasikan pengetahuan itu dalam pembelajaran dan komunikasi harian. Manakala Numerasi pula ditakrifkan sebagai keupayaan membaca, menulis, mengira dan menyusun nombor sehingga 1 000, menjadi cekap dalam operasi matematik seperti menambah, menolak, mendarab dan membahagi dan dapat mengaplikasikannya dalam operasi wang, masa dan ukuran panjang.

 Semua murid tahun 1 pada sesi awal persekolahan adalah diwajibkan untuk menduduki ujian saringan. Hasil daripada ujian diagnostik tersebut, murid-murid dapat diklasifikasikan sebagai calon untuk program intervensi LINUS atau pun tidak. Penggunaan ujian saringan ini adalah bagi mengenal pasti murid-murid yang benar-benar perlu menduduki kelas intervensi membaca dan menulis dengan berdasarkan 12 konstruk kemahiran membaca yang perlu dikuasai murid. Program LINUS ini dijalankan sepenuhnya oleh guru Bahasa Melayu tahun 1 di setiap sekolah. Guru yang mengendalikan program tersebut akan mengasingkan murid-murid tahun 1 yang gagal melepasi ujian saringan untuk mengikuti program intervensi ini (Modul LINUS, 2010).

Justeru, pendidikan literasi di Malaysia, terutamanya dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris kini menjadi suatu mata pelajaran terpenting di sekolah memandangkan program literasi ini telah diprogramkan secara rasmi di bawah program LINUS dan juga menjadi strategi kerajaan dalam National Key Result Area (NKRA). Misinya, adalah bagi membentuk kemahiran literasi yang tinggi, yakni golongan celik huruf yang berdaya maju ke hadapan menjelang tahun 2020 (Khairuddin, 2011).

KONSEP LINUS
Sasaran KPM mengharapkan murid yang berada di tahun 1, mereka boleh membaca, menulis dan memahami minima 500 patah perkataan dan ayat mudah dan mengira mengikut turutan nombor sehingga 50, dari segi operasi asasnya faham fakta asas tambah dan tolak serta dari segi aplikasi boleh mengira wang hingga RM10. Apabila di tahun 2,  murid boleh membaca, menulis dan memahami minima 800 patah perkataan dan ayat mudah menggunakan kata sendi dan mengira turutan nombor hingga 100, dari segi operasi asas boleh memahami fakta asas tambah, tolak, darab dan bahagi serta boleh mengaplikasi dalam kehidupan seharian seperti mengira wang hingga RM 50, memahami waktu dalam jam dan mengukur panjang/ pendek objek. Seterusnya di tahun 3, murid boleh membaca, menulis dan memahami minima 1000 patah perkataan dan ayat mudah dengan kata sendi dalam satu perenggan dan boleh mengira mengikut turutan nombor hingga 1000 dari segi operasi asasnya memahami fakta asas tambah, tolak, darab dan bahagi dan boleh mengaplikasi dalam pengurusan wang hingga RM100, memahami waktu dalam jam dan minit serta mengukur objek dalam unit piawai. Murid yang memasuki tahun 1 akan disaring terlebih dahulu bagi melihat kebolehan dan penguasaan mereka terhadap literasi dan numerasi dan penempatan kelas LINUS jika perlu. Modul LINUS telah mengguna pakai 12 konstruk kesemuanya.

ISU YANG MENDORONG PENGGUBALAN PROGRAM LINUS
Berdasarkan sorotan kajian lalu dan beberapa laporan, antara isu yang mendorong kepada penggubalan Program LINUS ialah:

§  Keciciran murid-murid
Keciciran murid-murid merupakan satu fenomena sosial yang berimpak tinggi kepada pembangunan modal insan Malaysia (Koh Boh Boon, 1981a, 1981b; Hamzah, 1992; Abdull Sukor & Kalaidevi, 2012). Pada tahun 2000 terdapat 5390 murid-murid tercicir di sekolah rendah dan kajian menunjukkan 3-4% murid-murid tercicir daripada sistem persekolahan (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2000; Rancangan Malaysia Ke-10, 2010). Angka tersebut meningkat pada tahun 2009. Antara punca keciciran ialah iklim sekolah, kelemahan murid-murid dan kurang positifnya iklim keluarga. Risiko keciciran perlu diteliti dan dibendung awal kerana keciciran memberi impak negatif dan tidak produktif kepada negara. Bersandarkan fakta dan senario ini, pendidik, ibu bapa dan penggubal dasar perlu mengambil tindakan positif memacu potensi murid-murid dan mengatasi masalah keciciran murid-murid. Oleh itu, KPM telah menggubal Program LINUS untuk memastikan murid-murid Tahun 3 di SK menguasai literasi dan numerasi pada tahun 2012.

§  Sikap masyarakat
Berdasarkan kajian dan laporan, didapati membaca bukan budaya masyarakat Malaysia. Masyarakat celik huruf selalunya dikaitkan dengan insan berbudaya membaca. Menurut perangkaan daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) didapati tahap celik huruf rakyat Malaysia adalah 93 peratus, tetapi angka tersebut tidak boleh dibanggakan jika dibandingkan dengan budaya membaca masyarakat Malaysia. Berdasarkan laporan tabiat membaca yang dibuat oleh UNESCO pada tahun 1999, rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun (Andy, 2011). Dewan Industri Buku Melayu Malaysia pula menyatakan rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira RM1 bilion setahun untuk membeli buku. Angka tersebut membayangkan jumlah yang agak besar. Namun begitu, jika diambil kira jumlah keluarga di Malaysia, secara puratanya setiap keluarga di negara ini hanya membelanjakan RM50 setahun untuk membeli buku. Atas faktor sikap masyarakat inilah, maka didapati murid-murid sukar menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi pada awal persekolahan kerana mereka tidak didedahkan budaya membaca dan menulis sejak awal lagi (Fatimah, 2005; Andy, 2011).

§  Motivasi murid-murid
Faktor motivasi murid-murid melibatkan faktor dalaman dan luaran. Faktor dalaman ialah faktor yang ada dalam diri murid-murid seperti sikap, peribadi, pendidikan, pengalaman dan cita-cita. Faktor luaran ialah faktor sosial seperti persekitaran masyarakat, jiran, rakan sebaya, sekolah, kedudukan sekolah, jarak rumah dengan sekolah, taraf sosioekonomi keluarga (Purcell-Gates, Victoria; Anderson, Jim; Gagne, Monique; Jang, Kristy; Lenters, Kimberly A., McTavish & Marianne, 2012). Kaedah yang menarik dapat merangsang murid-murid untuk meniru dan mengaplikasi (Guo, Ying; Justice & Laura M.; Kaderavek & Joan N.; Mc Ginty & Anita, 2012). Faktor dalaman melibatkan aspek fisiologi iaitu keadaan tubuh murid-murid dan psikologi terdiri dari kecerdasan, bakat, minat dan keperluan murid-murid. Oleh sebab faktor motivasi ini diabaikan, maka KPM memikirkan perlu kepada penggubalan Program LINUS agar murid-murid mendapat motivasi yang diperlukan.

§  Kesukaran pembelajaran
Seterusnya ialah masalah keperluan fisiologi dan psikologi yang tidak dipenuhi seperti tidak mendapat kasih sayang sepenuhnya, kesunyian, suasana rumah yang tidak kondusif, kurang galakan, kurang kebebasan, dan harapan ibu bapa yang tidak realistik (Maslow, 1943). Selain itu, faktor fizikal murid-murid seperti kurang pendengaran, kurang penglihatan, terencat mental, kecederaan otak dan perkembangan pertuturan yang lewat, masalah kemahiran motor halus dan kasar serta masalah koordinasi antara motor halus dan kasar tersebut. Isu ini juga mendorong kepada penggubalan Program LINUS oleh KPM. Oleh itu isu keciciran murid-murid, sikap masyarakat, motivasi murid-murid, kesukaran pembelajaran murid-murid perlu diselesaikan terlebih dahulu oleh pihak sekolah dalam memastikan murid-murid menguasai literasi (Laporan Keciciran Murad, 1972). Hal tersebut menjejaskan kemampuan murid-murid LINUS menguasai literasi. Dengan mengetahui maklumat ini akan memudahkan guru membantu murid-murid LINUS menguasai literasi. Bantuan untuk murid-murid LINUS yang diandaikan mempunyai masalah pembelajaran ini boleh diperoleh daripada beberapa sumber seperti guru pendidikan khas, pakar psikologi pembangunan dan pendidikan, pakar terapi pertuturan dan pakar terapi pekerjaan. Ibu bapa dan guru-guru perlu bekerjasama membantu murid-murid LINUS ini agar punca masalah mereka tidak lulus Saringan 1 LINUS benar-benar dikenal pasti. Oleh itu, nasib mereka terbela dan apabila mereka ditempatkan dalam aliran perdana, murid-murid LINUS ini benar-benar boleh bersaing dan berjaya.

FAKTOR-FAKTOR YANG MENYUMBANG KEPADA KEGAGALAN MURID-MURID MENGUASAI LITERASI DAN NUMERASI
Berdasarkan isu-isu tersebut, dapat dirumuskan beberapa kategori masalah yang menyebabkan murid-murid tidak menguasai literasi iaitu:

§  Pengajaran guru
Guru sendiri tiada kompetensi untuk mengajar murid-murid LINUS menguasai literasi. Akibatnya murid-murid ketinggalan dalam saringan Program LINUS. Hal ini demikian kerana guru yang tidak terlatih menyebabkan pengurusan kurikulum yang lemah (Otto, 1980; Goh, Pauline; Wong, Kung Teck; Osman, Rosma; Lin & Chia Yin 2012). Kelayakan guru literasi dan numerasi bukan sebagai guru pemulihan sedangkan murid-murid LINUS adalah murid-murid bermasalah pembelajaran. Selain itu, guru terlibat juga tidak berminat mengajar murid-murid LINUS yang bermasalah ini. Mereka sekadar menerima tanggunggjawab kerana arahan pentadbir bukan kemahuan sendiri (Gershunsky, & Pullin, 1990).

§  Masalah pembelajaran murid-murid
Laporan daripada Asian Programme of Educational Innovation for Development (APIED, 1983) berkaitan masalah pembelajaran murid-murid antaranya ialah iklim pembelajaran yang tidak sempurna, guru-guru yang tidak minat mengajar, keadaan yang tidak ceria dan menggembirakan, nisbah murid-murid dan guru yang tinggi, sikap guru sama ada telus dalam menilai dan melapor.

§  Masalah kurikulum dan bahan kurikulum
KPM perlu peka terhadap kurikulum murid-murid LINUS yang menghadapi masalah pembelajaran. Pertimbangan perlu dibuat agar murid-murid LINUS diberi peluang yang sama dengan murid-murid lain di mana kualiti pendidikan mereka perlu dipertingkatkan agar mereka dapat melepasi semua saringan yang telah dibina khas untuk mereka. Bahan bantu belajar, bahan-bahan sumber, buku, latihan perlu sesuai dengan keperluan murid-murid LINUS ini (APIED, 1983). Pendekatan yang diambil dapat menentukan komposisi yang terbaik dan sesuai untuk murid-murid bermasalah pembelajaran. Mereka yang tidak kurang dari segi aptitud (kebolehan semula jadi) atau intelek turut diberi sokongan untuk menguasai kurikulum arus perdana agar potensi mereka dapat dipertingkatkan secara menyeluruh.

§  Pendidikan imbuhan
Pendidikan imbuhan di sekolah bermula pada tahun 1975. Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), KPM telah menjalankan projek percubaan di dua belas buah sekolah dengan menggunakan strategi pendidikan pemulihan dijalankan oleh guru kelas biasa. Murid-murid yang terlibat dalam projek ini ialah mereka yang menghadapi masalah pembelajaran ringan dalam Bahasa Melayu, Matematik, Bahasa Inggeris dan daripada status ekonomi serta status sosial yang rendah. Mereka dibantu dari segi makanan tambahan, pinjaman buku teks dan program pembangunan masyarakat (KPM, 1973). Walau bagaimanapun projek ini tidak berjaya kerana murid-murid lain yang mendapat faedah dan masih ada yang tercicir. Projek ini dihentikan dan ditumpukan kepada Pendidikan Pemulihan Khas. Oleh itu, dalam kajian pelaksanaan LINUS di sekolah kebangsaan, lima kategori masalah ini dianalisis.


KAJIAN LITERATUR
Dalam konteks kajian ini, dasar merujuk kepada prinsip, haluan, sikap, pandangan serta pegangan secara kolektif yang diambil dan dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Dasar bererti asas, ketetapan, pegangan, tonggak tindakan atau polisi. Dasar adalah pilihan kerajaan untuk dilaksana atau tidak setelah melalui proses tertentu (Thomas Dye, 2002). Pelaksanaan dasar awam bererti mencapai, memenuhi hasrat kerajaan (Michael & Peter, 2002). Dasar mempunyai outcome yang dapat dilihat dan kadangkala tidak. Dasar merujuk kepada tindakan yang bertujuan (Michael & Peter, 2002).

Menurut Hogwood & Gunn dalam Hupe (2002), dasar awam didefinisikan sebagai reka bentuk yang dipengaruhi oleh keputusan dan pengaruh keadaan individu, kumpulan dan organisasi. Menerusi ketetapan DPK, pelbagai program pendidikan digubal KPM untuk memenuhi objektif kerajaan.

Menurut Arshad (2002), dasar pendidikan merupakan satu daripada dasar-dasar awam yang paling banyak digubal dan dilaksanakan oleh kerajaan dari semasa ke semasa. Di Malaysia, dasar dan Program LINUS digubal di KPM untuk dilaksanakan di sekolah. Belanjawan yang diperuntukkan adalah untuk perjalanan sistem sekolah. Berjaya ataupun gagal Program LINUS bergantung kepada kecekapan pentadbir melaksana dasar tersebut (Ramaiah, 1993; Harding, Ansie; Engelbrecht, Johann; Verwey & Amanda, 2011). Hasil program ini ialah murid-murid yang menguasai literasi dan numerasi. Hal ini dijelaskan dalam Rajah yang berikut.














Rajah 2.1 Hubungan Antara Dasar
(Sumber: Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bil. 2/1992)

Dasar awam juga dianggap sebagai alat memperuntukkan nilai kepada rakyat. Hal ini disebabkan dasar tersebut mengandungi latihan-latihan dan program-program yang bertujuan untuk meningkatkan pembangunan rakyat (Easton, 1965; Essuman, Ato & Bosumtwi-Sam, 2013).

Lewis A. Froman Jr. (1967) menyatakan dasar awam mempunyai dua makna yang nyata iaitu dasar sebagai:
i.               Cara untuk melakukan sesuatu perkara.
ii.             Program-program yang dijalankan.

Menurut Arshad (2002), dasar yang bagus ialah dasar yang menyelesaikan masalah awam, memelihara kebajikan dan kesejahteraan awam. Sebaliknya, dasar yang lemah pula tidak menyelesaikan masalah awam, malahan memburukkan lagi keadaan masalah. Seterusnya langkah-langkah penyelesaian yang berkesan dapat ditentukan dan pembaziran kewangan dapat dielakkan (Mahzan, 2002).

Indeks Prestasi Utama/Key Performance Index (KPI) enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara/National Key Result Area (NKRA) diumumkan pada Julai 2009. Salah satu sub NKRA tersebut ialah meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti. Tujuan sub NKRA LINUS ini ialah memastikan murid-murid yang bersekolah boleh menguasai kemahiran literasi dan numerasi ketika melangkah ke Tahun 4 sebelum penghujung tahun 2012. Program LINUS yang dilaksanakan di seluruh sekolah kerajaan pada tahun 2010 merupakan wacana menyempurnakan hasrat kerajaan. Malaysia telah mencapai kejayaan cemerlang dalam sistem pendidikan sepanjang tempoh 50 tahun termasuk pencapaian kadar literasi dewasa sebanyak 92%. Walau bagaimanapun, pendidikan Malaysia telah ketinggalan berbanding Singapura, Hong Kong dan Korea. Jurang perbezaan keberhasilan antara murid-murid di Malaysia terus meluas. 20% murid-murid Malaysia gagal mencapai tahap minimum Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) dalam Matematik dan Sains pada tahun 2007, berbanding hanya 5-7% pada tahun 2003. Memperbaik pencapaian pendidikan penting untuk membina satu tenaga kerja yang berdaya saing (Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan, 2010).

Kerajaan prihatin akan penguasaan literasi dan numerasi murid-murid. Sejumlah 27.2% bajet 2010 dikhususkan kepada akses pendidikan berkualiti, dan bagi Program LINUS sebanyak RM400 juta disediakan untuk tiga tahun, iaitu dari tahun 2010 hingga 2012 (Rancangan Malaysia Ke-10, 2010).

Dapatan kajian Tubah dan Hamid (2011), faktor peruntukan waktu dalam pengajaran dan pembelajaran kelas LINUS adalah penting. Semakin lama masa guru diberikan kepada murid LINUS, maka semakin mudah mereka menguasai kemahiran membaca dan memahami sesuatu perenggan. Sebagai rumusannya dapatlah dikatakan bahawa pemboleh ubah guru dan murid memang memberi pengaruh yang besar terhadap kemahiran membaca dan memahami perenggan.

Menurut Sani (2014), program LINUS merupakan satu program kesinambungan daripada program sedia ada yang dirancang dengan lebih teliti dan sistematik. KPM telah menyasarkan bahawa semua murid yang tiada masalah dalam pembelajaran harus berkeupayaan untuk menguasai asas literasi dan numerasi sebelum berakhir persekolahan tahap 1 (KPM NKRA, 2011). Sehubungan dengan itu, program LINUS bermula pada tahun 2010 bagi murid-murid tahun satu dan merupakan mandat di bawah agenda NKRA. Menurut program ini, setiap murid perlu menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi tahap 1. Dengan pelaksanaan program LINUS, murid-murid akan diberi perhatian oleh pihak sekolah untuk menguasai kemahiran literasi. Melalui program ini juga, guru-guru memperoleh pengalaman dan strategi yang baharu dalam menangani murid-murid yang ada masalah pembelajaran menerusi kursus dan modul LINUS.

Menurut Ahmad (2016), kanak-kanak yang ketinggalan dalam menguasai kemahiran literasi awal cenderung untuk berjuang dengan bacaan dan menulis. Akibatnya, kanak-kanak cenderung untuk menerima, kurang amalan dan minat terhadap membaca dan kurang terdedah kepada pengetahuan kandungan, perbendaharaan kata dan kemahiran bahasa yang lain daripada sifat kanak-kanak yang mendapat penguasaan literasi yang lebih awal sebelum mereka didaftarkan masuk ke alam persekolahan di peringkat rendah lagi.

Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Aimi Liyana, Hanis Maisarah, & Norfairos, (2016) mendapati ujian dalam saringan LINUS ini adalah indikator terhadap asas pengetahuan dan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid. Ini menunjukkan betapa penting perlaksanaan LINUS dan dapat menyumbang kepada pembangunan pendidikan di Malaysia dan mendapati laras bahasa yang digunakan dalam ujian saringan LINUS adalah bersesuaian dengan tahap murid dan ianya adalah mudah dan senang difahami. Menurut Aimi Liyana, Hanis Maisarah, & Nor Fairos, (2016) dalam kajiannya ke atas guru dan pelajar tahun 1 di sekolah di Bangsar mendapati laras bahasa yang digunakan dalam ujian saringan LINUS adalah bersesuaian dengan tahap murid dan ianya adalah mudah dan senang difahami. Perlaksanaan LINUS yang telah mula diperkenalkan juga mendapat sambutan yang baik dan pelajar yang mengikuti memahami akan ujian yang perlu mereka lalui pada tahap satu.

Kajian yang dilakukan oleh Peng, (2015) ke atas 3 buah sekolah kebangsaan dan 2 buah sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil mendapati pelajar mempunyai pengetahuan mengenai program LINUS di sekolah mereka. Guru juga menggunakan kaedah yang menyeronokkan dan dapat menarik minat pelajar dalam mengikuti program LINUS (Peng, 2015).

Menurut Zakaria dan Kadir (2018), cabaran juga boleh berpunca dari guru sendiri. Terdapat juga guru yang kurang memberikan kerjasama. Walaupun tidak ramai yang begitu tetapi kehadiran satu atau dua orang yang begitu cukup untuk menghalang kelancaran program yang diadakan. Bukan itu sahaja guru lain juga pastinya turut terkesan. Bagi guru yang kurang memberikan kerjasama beliau akan mengelak untuk berbuat demilkian dan kesannya berlaku pada guru-guru lain juga. Jika kita melihat dari segi tugasan pula, apabila terlampau banyak tugas yang perlu dilaksanakan oleh guru dalam satu masa dengan masa yang agak terhad guru akan menjadi tertekan. Guru akan menjadi sangat beremosi dan dalam masa yang sama akan menjejaskan kesihatan guru tersebut. Apabila kesihatan sudah terjejas guru tidak lagi dapat memberikan yang terbaik dalam PdP mereka dan akhirnya memberi kesan kepada pencapaian murid.

Menurut Abdullah (2018), guru-guru dan penyelaras LINUS berpendapat Program LINUS amat baik bagi meningkatkan kadar literasi murid-murid Orang Asli. Ini kerana mereka berpendapat program yang dijalankan sebelum ini seperti Program KIA2M gagal mencapai matlamat dan objektif mengeluarkan murid-murid Orang Asli keluar daripada masalah buta huruf. Cuma laporan dan saringan sering kali membebankan guru-guru dan penyelaras LINUS. Hal ini dikongsi oleh seorang guru LINUS.

CADANGAN PENYELESAIAN ISU
Program LINUS 2.0 yang mula diperkenalkan pada tahun 2011 banyak memberi kesan yang mendalam ke atas dunia pendidikan di Malaysia. Ianya adalah usaha KPM dalam menangani masalah buta huruf yang masih lagi berada dalam statistik sejak merdeka hingga ke hari ini. Berbagai-bagi usaha dan langkah serta program yang diperkenalkan dan sentiasa diperbaharui semata-mata untuk menjadikan Malaysia sifar buta huruf. Hasil dari kaji selidik yang dijalankan oleh para penyelidik menunjukkan program LINUS dan LINUS 2.0 telah berjaya dan dapat mengurangkan jumlah pelajar buta huruf. Sungguhpun begitu, beberapa kelemahan dan kekurangan terhadap modul LINUS 2.0 perlu diperbaiki memandang usia program masih terlalu awal dan masa yang sesuai perlu diberikan dan KPM tidak seharusnya terlalu rakus untuk mendapatkan keputusan yang cepat dan cemerlang. Beberapa isu atau cabaran yang telah dikenal pasti dalam menjalankan program LINUS.

Kajian yang dilakukan oleh Aimi Liyana, Hanis Maisarah, & Nor Fairos, (2016) ke atas guru di sebuah sekolah di Bangsar mendapati guru LINUS mengakui bahawa mereka hadapi kesuntukan masa kerana bilangan pelajar yang ramai dan guru terpaksa membimbing pelajar terutamanya bagi pelajar yang tidak memahami langsung Bahasa Inggeris dan pada masa yang sama ujian saringan juga perlu dijalankan serentak. Bagi mengatasi masalah ini cadangan supaya guru LINUS perlu diberikan masa yang bersesuaian dan tiada tekanan dari mana-mana pihak bagi memastikan guru memahami program tersebut dan proses ujian saringan berjalan lancar ini adalah kerana semasa ujian saringan LINUS diadakan guru LINUS dibenarkan membimbing pelajar yang kurang faham semasa mereka mejawab soalan tidak seperti semasa peperiksaan-peperiksaan lain, maka masa yang panjang dan sesaui perlu diberikan. Masalah masa yang sering diperkatakan tidak lagi menjadi faktor kepada halangan dan cabaran dalam melaksanakan program tersebut.

Selain daripada itu, isu yang sering diperkatakan adalah guru LINUS tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap program LINUS kerana terlalu banyak program dan kertas kerja sampingan yang dikehendaki oleh pihak sekolah dan KPM ini telah diutarakan sendiri oleh sebilangan guru yang ditemubual di sekolah di Bangsar oleh Aimi Liyana, Hanis Maisarah, & Nor Fairos, ( 2016) dalam kajian persepsi guru terhdap LINUS. Cadangan supaya guru LINUS khususnya tidak diberikan bebanan tugas yang terlalu banyak dan berat memandangkan mereka ini terlibat secara langsung dalam program LINUS di samping tugas hakiki iaitu mengajar di dalam kelas arus perdana juga supaya dapat menumpukan perhatian yang lebih baik terhadap program. Perlu diketahui masa yang sesuai adalah sangat penting dalam menghasilkan sesuatu tugasan supaya kesannya adalah cemerlang. LINUS telah banyak mengubah pembangunan pendidikan di peringkat awal dan mengurangkan statistik buta huruf dalam kalangan pelajar sekolah rendah di Malaysia. Namun begitu ibu bapa tidak seharusnya mengharapkan 100% daripada guru LINUS semata-mata, dan perlu memberi tumpuan dan perhatian kepada anak di rumah selain diajar oleh guru di sekolah bagi membolehkan anak mereka berjaya dalam ujian LINUS kelak. Menurut Aimi Liyana, Hanis Maisarah, & Nor Fairos, (2016) guru berpendapat linus dan menyumbang kepada masyarakat celik huruf dan meningkatkan sistem pendidikan negara bertaraf dunia, namun sokongan ibu bapa amat perlu dalam menjayakan program ini. Ini adalah disebabkan oleh mata pelajaran Bahasa Inggeris, KPM tidak menyediakan guru pemulihan bagi matapelajaran tersebut berbanding dengan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik.

Dicadangkan supaya penambahbaikan perlu dilakukan supaya KPM meneliti semula permasalahan yang timbul kesan daripada ketiadaan guru pemulihan LINUS bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris. Guru pemulihan Bahasa Inggeris juga perlu disediakan sama seperti kesediaan guru pemulihan LINUS Bahasa Melayu dan Matematik supaya ianya menjadi ukuran yang standard dan dapat mencapai sasaran dan memberikan kesan baik terhadap masyarakat dan sistem pendidikan di Malaysia. Guru juga berpendapat bahawa program LINUS khususnya bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, KPM tidak meneliti dengan terperinci modul yang disediakan untuk guru-guru. KPM hanya mengguna pakai 2 kemahiran yang ditekankan semasa ujian saringan LINUS Bahasa Inggeris iaitu kemahiran membaca dan menulis semata-mata, sedangkan menurut guru Bahasa Inggeris yang ditemu bual oleh Tubah & Hamid, (2011), untuk mahir dalam mata pelajaran ini 4 kemahiran asas perlu diajar dan di latih iaitu kemahiran membaca, menulis, mendengar dan bertutur. Penambahbaikan ke dalam modul perlu diberi perhatian serius dengan memasukkan 2 kemahiran mendengar dan bertutur yang tidak dititikberatkan semasa ujian saringan LINUS diadakan sekarang ini.

Dapatan kajian yang dilakukan oleh Peng, (2015) juga mendapati guru LINUS kurang dalam kepakaran ilmu psikolinguistik (keupayaan mental dan bahasa). Guru yang dipilih tidak mempunyai kepakaran dan tidak dihantar untuk menjalani latihan yang sewajarnya bagi memperolehi ilmu psikolinguistik. Guru-guru LINUS perlu mempunyai kepakaran untuk menentukan kesediaan pelajar, serta jelas tentang bimbingan yang perlu disampaikan kepada pelajar LINUS. Selain itu, adalah penting bagi guru-guru LINUS untuk memperoleh kaedah psikolinguistik pengajaran yang menekankan keupayaan mental dan penguasaan bahasa. Kaedah pengajaran tersebut mempunyai kesan yang mendalam kepada kemahiran bacaan dan kefahaman murid-murid LINUS. KPM perlu membuat dasar supaya guru yang dilantik sebagai guru LINUS perlulah diberikan latihan dan kursus yang secukupnya terutama dalam bidang psikolinguistik supaya dapat memberikan kesan yang lebih baik untuk memberi kemahiran kepada pelajar menguasai kemahiran literasi dan numerasi.












           Pada peringkat sekolah rendah pula, program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) yang bertujuan untuk memastikan semua murid mencapai kemahiran literasi asas (Bahasa Malaysia dan Inggeris) dan kemahiran numerasi menjelang akhir Tahun 3 sudah dilaksanakan selama lapan tahun. Pada tahun 2017, kadar literasi Bahasa Malaysia, literasi Bahasa Inggeris dan numerasi masing-masing telah dicatatkan pada 98.3%, 95.7% dan 98.8%. Pelaksanaannya sejak lapan tahun lalu telah menjadikan program tersebut satu aspek yang penting dalam pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Seterusnya, untuk memastikan semua murid sekolah rendah menguasai kemahiran literasi dan numerasi bukan sahaja pada tahap asas tetapi juga pada tahap yang lebih tinggi, sebuah program akan dibangunkan pada tahun 2018 dengan aspirasi untuk memberikan murid-murid Tahun 4 hingga 6 kemahiran literasi dan numerasi yang bersesuaian dengan sukatan pelajaran di sekolah (Laporan Tahunan Program Transformasi Negara, 2017). Secara keseluruhan, murid daripada kohort yang sama (2015-2017) menunjukkan penguasaan yang baik dalam literasi BM dan BI serta numerasi (Ekshibit 2-8). Murid yang masih tidak dapat menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi akan dibantu dengan aktiviti intervensi pada Tahun 4 bagi memastikan mereka dapat mengikuti pembelajaran bersama-sama rakan mereka yang lain.


Berdasarkan isu kajian literatur dan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara 2017, wajarlah program LINUS dihentikan. Ini bertepatan dengan Model Penilaian Provus’s Discrepancy. Model  ini adalah evolusi daripada model Tyler. Provus (1973) melihat penilaian merupakan satu maklumat yang berterusan yang bertujuan untuk ‘memerhati’ pengurusan program. Ciri-ciri utama model ini ialah, 1) mempersetujui standard (objektif), 2) menentukan sama ada terdapat perbezaan wujud antara prestasi dan standard yang telah ditetapkan, 3) menggunakan maklumat daripada perbezaan yang telah dikenal pasti untuk membuat keputusan sama ada meningkatkan, mengekalkan, atau memberhentikan program atas sebahagian daripada program tersebut.

Selain itu, program LINUS dihentikan adalah kerana pihak sekolah akan melaksanakan program sendiri mengikut kesesuaian bagi mengatasi masalah penguasaan kemahiran asas 3M iaitu Membaca, Mengira dan Menulis dalam kalangan murid. Pendekatan sekarang, sama ada peringkat kementerian, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) akan memberi sokongan kepada program dirangka pihak sekolah masing-masing. Sehubungan dengan itu, setiap sekolah perlu ada inisiatif sendiri merangka program masing-masing yang sesuai dengan keperluan murid di sekolah mereka. Langkah menghentikan LINUS antara lain kerana pihak KPM tidak mahu lagi menyediakan ‘pakej’ atau modul sesuatu program dari atas ke bawah kementerian turun ke peringkat sekolah, sebaliknya sekolah melaksanakan program mengikut ‘acuan’ sendiri (Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin, 2019).


RUJUKAN
Aimi Liyana, K., Hanis Maisarah, M., & Nor Fairos, H. (2016). Teachers' Perception On Literacy , Numeracy and Screening (LINUS 2.0) Assessment Features Based On Year 1 Students' Performance . Research Journal of English Language and Literature (RJELAL), 4(1).

Bahagian Pembangunan Kurikulum. (2014). LINUS 2.0: Literasi Bahasa Inggeris (LBI). Teacher’s Module: LINUS 2.0: Literasi Bahasa Inggeris (LBI). Book 3. Petaling Jaya, Selangor: Saryaz Holdings Sdn. Bhd.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2012-2015). Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. Retrieved from http://www.moe.gov.my/userfiles/file/PPP/Preliminary-Blueprint-BM.pdf.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2018). Laporan Tahunan 2017. Retrieved from https://www.padu.edu.my/wp-content/uploads/2018/07/PADU-LAPORAN-TAHUNAN-BM-2017.pdf

Modul Linus. (2011). Ministry of Education. Malaysia. Peng, C. (2015). Pelaksanaan Program Literasi dan Numerasi (LINUS) di Sekolah Rendah. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 5, (2) 1-11.

http://conference.kuis.edu.my/recit2016/images/eproceeding/ZAHANIM.pdf








❤❤❤KALAU SUKA LIKE...JANGAN LUPA KOMEN TAU...TQ❤❤❤

1 ulasan:

  1. hi kak i nak penerangan linus untuk assignment saya .bolehtah kongsi

    BalasPadam

Assalamualaikum, sila tinggalkan komen anda.
Insya Allah komen anda akan dilayan :)

Sila datang lagi ya,TQ❤❤❤....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...