Sistem pendidikan di Malaysia kini
bergerak begitu pantas seiring kepesatan negara di era milenium kini. Kerajaan
melalui Kementerian Pendidikan Malaysia telah mempunyai rancangan tersendiri
dan melaksanakan berbagai perubahan yang mantap ke arah merealisasikan hasrat
negara maju menjelang wawasan 2020. Perubahan dalam arena pendidikan negara
mula menampakkan hasil daripada pelbagai dasar, akta, laporan, ataupun penyata
seperti Dasar Pendidikan Negara, Laporan Razak 1956, Laporan Rahman Talib 1960,
Akta Bahasa Kebangsaan 1967, dan Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979.
LATAR BELAKANG LINUS
Kemahiran literasi awal adalah
penting bagi kanak-kanak kerana kemahiran ini boleh membantu meningkatkan
prestasi pembelajaran kanak-kanak pada masa yang akan datang. Kanak-kanak yang
ketinggalan dalam menguasai kemahiran literasi awal cenderung untuk berjuang
dengan bacaan dan menulis. Akibatnya, kanak-kanak cenderung untuk menerima,
kurang amalan dan minat terhadap membaca dan kurang terdedah kepada pengetahuan
kandungan, perbendaharaan kata dan kemahiran bahasa yang lain daripada sifat
kanak-kanak yang mendapat penguasaan literasi yang lebih awal sebelum mereka
didaftarkan masuk ke alam persekolahan di peringkat rendah lagi.
Di
Malaysia, penguasaan kemahiran literasi awal telah menjadi tumpuan yang hangat
sejak dulu lagi. Sistem pendidikan Malaysia dan isu ini adalah terutamanya
menjadi isu hangat dan kritikal dalam tahun 1960-an (Nazariyah & Abdul
Rahman, 2013). Banyak program telah dilaksanakan bagi membantu kanak-kanak
dalam penguasaan literasi pada peringkat awal namun, isu buta huruf dalam
kalangan anak-anak muda masih menjadi masalah sebenar. Pada tahun 2011, Menteri
Pertahanan Malaysia, Abdul Latiff Ahmad, mendedahkan bahawa hampir 1,000
daripada 11,000 belia yang dipilih untuk latihan khidmat negara (PLKN) buta
huruf (Modul Khas untuk Khidmat Negara Pelatih: Malaysia, 2011). Selain itu, ia
adalah dilaporkan dalam akhbar The Star bahawa 3 orang pelajar telah dihalang daripada
menduduki Sekolah Rendah mereka Ujian Penilaian (UPSR), disebabkan oleh
prestasi akademik mereka.
Selain
daripada itu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mendapati bahawa ada murid
yang tidak mempunyai masalah pembelajaran yang masih belum menguasai kemahiran
asas 3M dengan baik belum dapat diatasi sepenuhnya walaupun KPM telah
melaksanakan pelbagai program pemulihan. Antaranya ialah Program KIA2M untuk
murid Tahun 1 yang mula dilaksanakan pada tahun 2006, program pemulihan untuk
murid Tahun 2 dan 3 yang dikendalikan oleh guru pemulihan khas di sekolah
masing-masing, Program Pemulihan Asas Kemahiran Membaca, Menulis dan Mengira
(PROTIM) untuk murid Tahap 2, dan PROTIM selepas UPSR. Ekoran daripada isu yang
timbul, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengambil satu inisiatif
untuk mengadakan satu program yang lebih baik dan berkesan supaya semua kanak-kanak
di Malaysia mempunyai asas yang stabil dalam kemahiran awal literasi.
Sejajar
dengan itu, KPM berpendapat suatu pendekatan yang bersepadu perlu dilaksanakan
supaya masalah literasi dan numerasi dapat dikesan dan dipulihkan seawal Tahap 1.
Perkara ini perlu diberi perhatian yang serius kerana murid yang tidak
menguasai kemahiran asas 3M merupakan kumpulan yang berisiko keciciran dan
berhadapan dengan kesukaran memenuhi keperluan melanjutkan pelajaran dan
kerjaya. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah memperkenalkan program yang
dikenali dengan Program LINUS.
TAKRIFAN LINUS
LINUS merupakan akronim daripada Literacy and Numeracy Screening dan
bermanfaat bagi membantu murid-murid di sekolah rendah, di Tahap 1 bermula dari
tahun 1 hingga 3 yang agak tercicir dalam penguasaan kemahiran asas 3M, iaitu
membaca, menulis, dan mengira. Semua guru tahun satu yang mengajar mata
pelajaran Bahasa Melayu diwajibkan mengikuti kursus pengajaran dan pembelajaran
modul LINUS mulai tahun 2010 yang dikendalikan oleh Bahagian Pendidikan Guru,
Kementerian Pendidikan Malaysia. Program ini dilaksanakan secara wajib di semua
Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, dan Sekolah Jenis Kebangsaan
Tamil. Terdapat tiga peringkat saringan, iaitu Saringan 1 (Tahun Satu),
Saringan 2 (Tahun Dua), dan Saringan 3 (Tahun Tiga). LINUS 2.0 pula adalah
lanjutan daripada program LINUS sebelumnya diperkenalkan pada tahun 2012 dengan
tambahan LINUS Bahasa Inggeris ( LBI ). Instrumen saringan LINUS 2.0 direka
berdasarkan dua belas asas literasi dan konstruk numerasi dan item bagi setiap
instrumen dibina berdasarkan kedalaman kandungan.
Literasi
ditakrifkan sebagai keupayaan membaca, menulis dan memahami perkataan dan ayat
yang mudah dan kompleks dan mengaplikasikan pengetahuan itu dalam pembelajaran
dan komunikasi harian. Manakala Numerasi pula ditakrifkan sebagai keupayaan
membaca, menulis, mengira dan menyusun nombor sehingga 1 000, menjadi cekap
dalam operasi matematik seperti menambah, menolak, mendarab dan membahagi dan
dapat mengaplikasikannya dalam operasi wang, masa dan ukuran panjang.
Semua murid tahun 1 pada sesi awal
persekolahan adalah diwajibkan untuk menduduki ujian saringan. Hasil daripada
ujian diagnostik tersebut, murid-murid dapat diklasifikasikan sebagai calon
untuk program intervensi LINUS atau pun tidak. Penggunaan ujian saringan ini
adalah bagi mengenal pasti murid-murid yang benar-benar perlu menduduki kelas
intervensi membaca dan menulis dengan berdasarkan 12 konstruk kemahiran membaca
yang perlu dikuasai murid. Program LINUS ini dijalankan sepenuhnya oleh guru
Bahasa Melayu tahun 1 di setiap sekolah. Guru yang mengendalikan program tersebut
akan mengasingkan murid-murid tahun 1 yang gagal melepasi ujian saringan untuk
mengikuti program intervensi ini (Modul LINUS, 2010).
Justeru,
pendidikan literasi di Malaysia, terutamanya dalam Bahasa Melayu dan Bahasa
Inggeris kini menjadi suatu mata pelajaran terpenting di sekolah memandangkan
program literasi ini telah diprogramkan secara rasmi di bawah program LINUS dan
juga menjadi strategi kerajaan dalam National Key Result Area (NKRA). Misinya,
adalah bagi membentuk kemahiran literasi yang tinggi, yakni golongan celik
huruf yang berdaya maju ke hadapan menjelang tahun 2020 (Khairuddin, 2011).
KONSEP LINUS
Sasaran KPM mengharapkan murid yang
berada di tahun 1, mereka boleh membaca, menulis dan memahami minima 500 patah
perkataan dan ayat mudah dan mengira mengikut turutan nombor sehingga 50, dari
segi operasi asasnya faham fakta asas tambah dan tolak serta dari segi aplikasi
boleh mengira wang hingga RM10. Apabila di tahun 2, murid boleh membaca, menulis dan memahami
minima 800 patah perkataan dan ayat mudah menggunakan kata sendi dan mengira
turutan nombor hingga 100, dari segi operasi asas boleh memahami fakta asas
tambah, tolak, darab dan bahagi serta boleh mengaplikasi dalam kehidupan
seharian seperti mengira wang hingga RM 50, memahami waktu dalam jam dan
mengukur panjang/ pendek objek. Seterusnya di tahun 3, murid boleh membaca, menulis dan
memahami minima 1000 patah perkataan dan ayat mudah dengan kata sendi dalam
satu perenggan dan boleh mengira mengikut turutan nombor hingga 1000 dari segi
operasi asasnya memahami fakta asas tambah, tolak, darab dan bahagi dan boleh
mengaplikasi dalam pengurusan wang hingga RM100, memahami waktu dalam jam dan
minit serta mengukur objek dalam unit piawai. Murid yang memasuki tahun 1 akan
disaring terlebih dahulu bagi melihat kebolehan dan penguasaan mereka terhadap
literasi dan numerasi dan penempatan kelas LINUS jika perlu. Modul LINUS telah
mengguna pakai 12 konstruk kesemuanya.
ISU YANG MENDORONG PENGGUBALAN PROGRAM LINUS
Berdasarkan sorotan kajian lalu dan
beberapa laporan, antara isu yang mendorong kepada penggubalan Program LINUS
ialah:
§ Keciciran murid-murid
Keciciran
murid-murid merupakan satu fenomena sosial yang berimpak tinggi kepada
pembangunan modal insan Malaysia (Koh Boh Boon, 1981a, 1981b; Hamzah, 1992;
Abdull Sukor & Kalaidevi, 2012). Pada tahun 2000 terdapat 5390 murid-murid
tercicir di sekolah rendah dan kajian menunjukkan 3-4% murid-murid tercicir
daripada sistem persekolahan (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2000; Rancangan
Malaysia Ke-10, 2010). Angka tersebut meningkat pada tahun 2009. Antara punca
keciciran ialah iklim sekolah, kelemahan murid-murid dan kurang positifnya
iklim keluarga. Risiko keciciran perlu diteliti dan dibendung awal kerana
keciciran memberi impak negatif dan tidak produktif kepada negara. Bersandarkan
fakta dan senario ini, pendidik, ibu bapa dan penggubal dasar perlu mengambil tindakan
positif memacu potensi murid-murid dan mengatasi masalah keciciran murid-murid.
Oleh itu, KPM telah menggubal Program LINUS untuk memastikan murid-murid Tahun
3 di SK menguasai literasi dan numerasi pada tahun 2012.
§ Sikap masyarakat
Berdasarkan
kajian dan laporan, didapati membaca bukan budaya masyarakat Malaysia. Masyarakat
celik huruf selalunya dikaitkan dengan insan berbudaya membaca. Menurut
perangkaan daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) didapati tahap celik
huruf rakyat Malaysia adalah 93 peratus, tetapi angka tersebut tidak boleh
dibanggakan jika dibandingkan dengan budaya membaca masyarakat Malaysia.
Berdasarkan laporan tabiat membaca yang dibuat oleh UNESCO pada tahun 1999,
rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun (Andy, 2011). Dewan
Industri Buku Melayu Malaysia pula menyatakan rakyat Malaysia membelanjakan
kira-kira RM1 bilion setahun untuk membeli buku. Angka tersebut membayangkan
jumlah yang agak besar. Namun begitu, jika diambil kira jumlah keluarga di
Malaysia, secara puratanya setiap keluarga di negara ini hanya membelanjakan
RM50 setahun untuk membeli buku. Atas faktor sikap masyarakat inilah, maka
didapati murid-murid sukar menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi pada
awal persekolahan kerana mereka tidak didedahkan budaya membaca dan menulis
sejak awal lagi (Fatimah, 2005; Andy, 2011).
§ Motivasi murid-murid
Faktor
motivasi murid-murid melibatkan faktor dalaman dan luaran. Faktor dalaman ialah
faktor yang ada dalam diri murid-murid seperti sikap, peribadi, pendidikan,
pengalaman dan cita-cita. Faktor luaran ialah faktor sosial seperti
persekitaran masyarakat, jiran, rakan sebaya, sekolah, kedudukan sekolah, jarak
rumah dengan sekolah, taraf sosioekonomi keluarga (Purcell-Gates, Victoria;
Anderson, Jim; Gagne, Monique; Jang, Kristy; Lenters, Kimberly A., McTavish
& Marianne, 2012). Kaedah yang menarik dapat merangsang murid-murid untuk
meniru dan mengaplikasi (Guo, Ying; Justice & Laura M.; Kaderavek &
Joan N.; Mc Ginty & Anita, 2012). Faktor dalaman melibatkan aspek fisiologi
iaitu keadaan tubuh murid-murid dan psikologi terdiri dari kecerdasan, bakat,
minat dan keperluan murid-murid. Oleh sebab faktor motivasi ini diabaikan, maka
KPM memikirkan perlu kepada penggubalan Program LINUS agar murid-murid mendapat
motivasi yang diperlukan.
§ Kesukaran pembelajaran
Seterusnya
ialah masalah keperluan fisiologi dan psikologi yang tidak dipenuhi seperti
tidak mendapat kasih sayang sepenuhnya, kesunyian, suasana rumah yang tidak
kondusif, kurang galakan, kurang kebebasan, dan harapan ibu bapa yang tidak
realistik (Maslow, 1943). Selain itu, faktor fizikal murid-murid seperti kurang
pendengaran, kurang penglihatan, terencat mental, kecederaan otak dan
perkembangan pertuturan yang lewat, masalah kemahiran motor halus dan kasar
serta masalah koordinasi antara motor halus dan kasar tersebut. Isu ini juga
mendorong kepada penggubalan Program LINUS oleh KPM. Oleh itu isu keciciran
murid-murid, sikap masyarakat, motivasi murid-murid, kesukaran pembelajaran murid-murid
perlu diselesaikan terlebih dahulu oleh pihak sekolah dalam memastikan
murid-murid menguasai literasi (Laporan Keciciran Murad, 1972). Hal tersebut
menjejaskan kemampuan murid-murid LINUS menguasai literasi. Dengan mengetahui
maklumat ini akan memudahkan guru membantu murid-murid LINUS menguasai
literasi. Bantuan untuk murid-murid LINUS yang diandaikan mempunyai masalah
pembelajaran ini boleh diperoleh daripada beberapa sumber seperti guru
pendidikan khas, pakar psikologi pembangunan dan pendidikan, pakar terapi
pertuturan dan pakar terapi pekerjaan. Ibu bapa dan guru-guru perlu bekerjasama
membantu murid-murid LINUS ini agar punca masalah mereka tidak lulus Saringan 1
LINUS benar-benar dikenal pasti. Oleh itu, nasib mereka terbela dan apabila mereka
ditempatkan dalam aliran perdana, murid-murid LINUS ini benar-benar boleh
bersaing dan berjaya.
FAKTOR-FAKTOR YANG MENYUMBANG KEPADA KEGAGALAN
MURID-MURID MENGUASAI LITERASI DAN
NUMERASI
Berdasarkan isu-isu tersebut, dapat
dirumuskan beberapa kategori masalah yang menyebabkan murid-murid tidak
menguasai literasi iaitu:
§
Pengajaran
guru
Guru sendiri tiada kompetensi untuk
mengajar murid-murid LINUS menguasai literasi. Akibatnya murid-murid
ketinggalan dalam saringan Program LINUS. Hal ini demikian kerana guru yang
tidak terlatih menyebabkan pengurusan kurikulum yang lemah (Otto, 1980; Goh,
Pauline; Wong, Kung Teck; Osman, Rosma; Lin & Chia Yin 2012). Kelayakan
guru literasi dan numerasi bukan sebagai guru pemulihan sedangkan murid-murid
LINUS adalah murid-murid bermasalah pembelajaran. Selain itu, guru terlibat
juga tidak berminat mengajar murid-murid LINUS yang bermasalah ini. Mereka
sekadar menerima tanggunggjawab kerana arahan pentadbir bukan kemahuan sendiri
(Gershunsky, & Pullin, 1990).
§
Masalah
pembelajaran murid-murid
Laporan daripada Asian Programme of
Educational Innovation for Development (APIED, 1983) berkaitan masalah
pembelajaran murid-murid antaranya ialah iklim pembelajaran yang tidak
sempurna, guru-guru yang tidak minat mengajar, keadaan yang tidak ceria dan
menggembirakan, nisbah murid-murid dan guru yang tinggi, sikap guru sama ada
telus dalam menilai dan melapor.
§
Masalah
kurikulum dan bahan kurikulum
KPM
perlu peka terhadap kurikulum murid-murid LINUS yang menghadapi masalah pembelajaran.
Pertimbangan perlu dibuat agar murid-murid LINUS diberi peluang yang sama
dengan murid-murid lain di mana kualiti pendidikan mereka perlu dipertingkatkan
agar mereka dapat melepasi semua saringan yang telah dibina khas untuk mereka.
Bahan bantu belajar, bahan-bahan sumber, buku, latihan perlu sesuai dengan
keperluan murid-murid LINUS ini (APIED, 1983). Pendekatan yang diambil dapat
menentukan komposisi yang terbaik dan sesuai untuk murid-murid bermasalah
pembelajaran. Mereka yang tidak kurang dari segi aptitud (kebolehan semula
jadi) atau intelek turut diberi sokongan untuk menguasai kurikulum arus perdana
agar potensi mereka dapat dipertingkatkan secara menyeluruh.
§
Pendidikan
imbuhan
Pendidikan imbuhan di sekolah
bermula pada tahun 1975. Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), KPM telah
menjalankan projek percubaan di dua belas buah sekolah dengan menggunakan
strategi pendidikan pemulihan dijalankan oleh guru kelas biasa. Murid-murid
yang terlibat dalam projek ini ialah mereka yang menghadapi masalah
pembelajaran ringan dalam Bahasa Melayu, Matematik, Bahasa Inggeris dan
daripada status ekonomi serta status sosial yang rendah. Mereka dibantu dari
segi makanan tambahan, pinjaman buku teks dan program pembangunan masyarakat
(KPM, 1973). Walau bagaimanapun projek ini tidak berjaya kerana murid-murid
lain yang mendapat faedah dan masih ada yang tercicir. Projek ini dihentikan
dan ditumpukan kepada Pendidikan Pemulihan Khas. Oleh itu, dalam kajian
pelaksanaan LINUS di sekolah kebangsaan, lima kategori masalah ini dianalisis.
KAJIAN LITERATUR
Dalam konteks kajian ini, dasar
merujuk kepada prinsip, haluan, sikap, pandangan serta pegangan secara kolektif
yang diambil dan dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Dasar bererti asas,
ketetapan, pegangan, tonggak tindakan atau polisi. Dasar adalah pilihan
kerajaan untuk dilaksana atau tidak setelah melalui proses tertentu (Thomas
Dye, 2002). Pelaksanaan dasar awam bererti mencapai, memenuhi hasrat kerajaan
(Michael & Peter, 2002). Dasar mempunyai outcome yang dapat dilihat dan
kadangkala tidak. Dasar merujuk kepada tindakan yang bertujuan (Michael &
Peter, 2002).
Menurut
Hogwood & Gunn dalam Hupe (2002), dasar awam didefinisikan sebagai reka
bentuk yang dipengaruhi oleh keputusan dan pengaruh keadaan individu, kumpulan
dan organisasi. Menerusi ketetapan DPK, pelbagai program pendidikan digubal KPM
untuk memenuhi objektif kerajaan.
Menurut
Arshad (2002), dasar pendidikan merupakan satu daripada dasar-dasar awam yang
paling banyak digubal dan dilaksanakan oleh kerajaan dari semasa ke semasa. Di
Malaysia, dasar dan Program LINUS digubal di KPM untuk dilaksanakan di sekolah.
Belanjawan yang diperuntukkan adalah untuk perjalanan sistem sekolah. Berjaya
ataupun gagal Program LINUS bergantung kepada kecekapan pentadbir melaksana
dasar tersebut (Ramaiah, 1993; Harding, Ansie; Engelbrecht, Johann; Verwey
& Amanda, 2011). Hasil program ini ialah murid-murid yang menguasai
literasi dan numerasi. Hal ini dijelaskan dalam Rajah yang berikut.
Rajah 2.1
Hubungan Antara Dasar
(Sumber: Pekeliling
Kemajuan Pentadbiran Awam Bil. 2/1992)
Dasar
awam juga dianggap sebagai alat memperuntukkan nilai kepada rakyat. Hal ini
disebabkan dasar tersebut mengandungi latihan-latihan dan program-program yang
bertujuan untuk meningkatkan pembangunan rakyat (Easton, 1965; Essuman, Ato
& Bosumtwi-Sam, 2013).
Lewis
A. Froman Jr. (1967) menyatakan dasar awam mempunyai dua makna yang nyata iaitu
dasar sebagai:
i.
Cara untuk melakukan sesuatu
perkara.
ii.
Program-program yang dijalankan.
Menurut
Arshad (2002), dasar yang bagus ialah dasar yang menyelesaikan masalah awam,
memelihara kebajikan dan kesejahteraan awam. Sebaliknya, dasar yang lemah pula
tidak menyelesaikan masalah awam, malahan memburukkan lagi keadaan masalah.
Seterusnya langkah-langkah penyelesaian yang berkesan dapat ditentukan dan
pembaziran kewangan dapat dielakkan (Mahzan, 2002).
Indeks
Prestasi Utama/Key Performance Index (KPI) enam teras Bidang Keberhasilan Utama
Negara/National Key Result Area (NKRA) diumumkan pada Julai 2009. Salah satu
sub NKRA tersebut ialah meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti. Tujuan
sub NKRA LINUS ini ialah memastikan murid-murid yang bersekolah boleh menguasai
kemahiran literasi dan numerasi ketika melangkah ke Tahun 4 sebelum penghujung
tahun 2012. Program LINUS yang dilaksanakan di seluruh sekolah kerajaan pada
tahun 2010 merupakan wacana menyempurnakan hasrat kerajaan. Malaysia telah
mencapai kejayaan cemerlang dalam sistem pendidikan sepanjang tempoh 50 tahun
termasuk pencapaian kadar literasi dewasa sebanyak 92%. Walau bagaimanapun,
pendidikan Malaysia telah ketinggalan berbanding Singapura, Hong Kong dan
Korea. Jurang perbezaan keberhasilan antara murid-murid di Malaysia terus
meluas. 20% murid-murid Malaysia gagal mencapai tahap minimum Trends in
International Mathematics and Science Study (TIMSS) dalam Matematik dan Sains
pada tahun 2007, berbanding hanya 5-7% pada tahun 2003. Memperbaik pencapaian
pendidikan penting untuk membina satu tenaga kerja yang berdaya saing (Pelan
Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan, 2010).
Kerajaan
prihatin akan penguasaan literasi dan numerasi murid-murid. Sejumlah 27.2%
bajet 2010 dikhususkan kepada akses pendidikan berkualiti, dan bagi Program
LINUS sebanyak RM400 juta disediakan untuk tiga tahun, iaitu dari tahun 2010
hingga 2012 (Rancangan Malaysia Ke-10, 2010).
Dapatan kajian
Tubah dan Hamid (2011), faktor peruntukan waktu dalam pengajaran dan
pembelajaran kelas LINUS adalah penting. Semakin lama masa guru diberikan
kepada murid LINUS, maka semakin mudah mereka menguasai kemahiran membaca dan
memahami sesuatu perenggan. Sebagai rumusannya dapatlah dikatakan bahawa
pemboleh ubah guru dan murid memang memberi pengaruh yang besar terhadap
kemahiran membaca dan memahami perenggan.
Menurut Sani
(2014), program LINUS merupakan satu program kesinambungan daripada program
sedia ada yang dirancang dengan lebih teliti dan sistematik. KPM telah
menyasarkan bahawa semua murid yang tiada masalah dalam pembelajaran harus
berkeupayaan untuk menguasai asas literasi dan numerasi sebelum berakhir
persekolahan tahap 1 (KPM NKRA, 2011). Sehubungan dengan itu, program LINUS bermula
pada tahun 2010 bagi murid-murid tahun satu dan merupakan mandat di bawah
agenda NKRA. Menurut program ini, setiap murid perlu menguasai kemahiran asas
literasi dan numerasi tahap 1. Dengan pelaksanaan program LINUS, murid-murid
akan diberi perhatian oleh pihak sekolah untuk menguasai kemahiran literasi.
Melalui program ini juga, guru-guru memperoleh pengalaman dan strategi yang
baharu dalam menangani murid-murid yang ada masalah pembelajaran menerusi
kursus dan modul LINUS.
Menurut Ahmad
(2016), kanak-kanak yang ketinggalan dalam menguasai kemahiran literasi awal
cenderung untuk berjuang dengan bacaan dan menulis. Akibatnya, kanak-kanak cenderung
untuk menerima, kurang amalan dan minat terhadap membaca dan kurang terdedah
kepada pengetahuan kandungan, perbendaharaan kata dan kemahiran bahasa yang
lain daripada sifat kanak-kanak yang mendapat penguasaan literasi yang lebih
awal sebelum mereka didaftarkan masuk ke alam persekolahan di peringkat rendah
lagi.
Dalam
satu kajian yang dijalankan oleh Aimi Liyana, Hanis Maisarah, & Norfairos,
(2016) mendapati ujian dalam saringan LINUS ini adalah indikator terhadap asas
pengetahuan dan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid. Ini
menunjukkan betapa penting perlaksanaan LINUS dan dapat menyumbang kepada
pembangunan pendidikan di Malaysia dan mendapati laras bahasa yang digunakan
dalam ujian saringan LINUS adalah bersesuaian dengan tahap murid dan ianya
adalah mudah dan senang difahami. Menurut Aimi Liyana, Hanis Maisarah, &
Nor Fairos, (2016) dalam kajiannya ke atas guru dan pelajar tahun 1 di sekolah
di Bangsar mendapati laras bahasa yang digunakan dalam ujian saringan LINUS
adalah bersesuaian dengan tahap murid dan ianya adalah mudah dan senang
difahami. Perlaksanaan LINUS yang telah mula diperkenalkan juga mendapat
sambutan yang baik dan pelajar yang mengikuti memahami akan ujian yang perlu
mereka lalui pada tahap satu.
Kajian
yang dilakukan oleh Peng, (2015) ke atas 3 buah sekolah kebangsaan dan 2 buah
sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil mendapati pelajar mempunyai pengetahuan
mengenai program LINUS di sekolah mereka. Guru juga menggunakan kaedah yang
menyeronokkan dan dapat menarik minat pelajar dalam mengikuti program LINUS
(Peng, 2015).
Menurut Zakaria dan Kadir (2018), cabaran juga boleh berpunca dari guru sendiri. Terdapat juga guru yang kurang memberikan kerjasama. Walaupun tidak ramai yang begitu tetapi kehadiran satu atau dua orang yang begitu cukup untuk menghalang kelancaran program yang diadakan. Bukan itu sahaja guru lain juga pastinya turut terkesan. Bagi guru yang kurang memberikan kerjasama beliau akan mengelak untuk berbuat demilkian dan kesannya berlaku pada guru-guru lain juga. Jika kita melihat dari segi tugasan pula, apabila terlampau banyak tugas yang perlu dilaksanakan oleh guru dalam satu masa dengan masa yang agak terhad guru akan menjadi tertekan. Guru akan menjadi sangat beremosi dan dalam masa yang sama akan menjejaskan kesihatan guru tersebut. Apabila kesihatan sudah terjejas guru tidak lagi dapat memberikan yang terbaik dalam PdP mereka dan akhirnya memberi kesan kepada pencapaian murid.
Menurut Abdullah (2018), guru-guru dan penyelaras LINUS berpendapat Program LINUS amat baik bagi meningkatkan kadar literasi murid-murid Orang Asli. Ini kerana mereka berpendapat program yang dijalankan sebelum ini seperti Program KIA2M gagal mencapai matlamat dan objektif mengeluarkan murid-murid Orang Asli keluar daripada masalah buta huruf. Cuma laporan dan saringan sering kali membebankan guru-guru dan penyelaras LINUS. Hal ini dikongsi oleh seorang guru LINUS.
Menurut Zakaria dan Kadir (2018), cabaran juga boleh berpunca dari guru sendiri. Terdapat juga guru yang kurang memberikan kerjasama. Walaupun tidak ramai yang begitu tetapi kehadiran satu atau dua orang yang begitu cukup untuk menghalang kelancaran program yang diadakan. Bukan itu sahaja guru lain juga pastinya turut terkesan. Bagi guru yang kurang memberikan kerjasama beliau akan mengelak untuk berbuat demilkian dan kesannya berlaku pada guru-guru lain juga. Jika kita melihat dari segi tugasan pula, apabila terlampau banyak tugas yang perlu dilaksanakan oleh guru dalam satu masa dengan masa yang agak terhad guru akan menjadi tertekan. Guru akan menjadi sangat beremosi dan dalam masa yang sama akan menjejaskan kesihatan guru tersebut. Apabila kesihatan sudah terjejas guru tidak lagi dapat memberikan yang terbaik dalam PdP mereka dan akhirnya memberi kesan kepada pencapaian murid.
Menurut Abdullah (2018), guru-guru dan penyelaras LINUS berpendapat Program LINUS amat baik bagi meningkatkan kadar literasi murid-murid Orang Asli. Ini kerana mereka berpendapat program yang dijalankan sebelum ini seperti Program KIA2M gagal mencapai matlamat dan objektif mengeluarkan murid-murid Orang Asli keluar daripada masalah buta huruf. Cuma laporan dan saringan sering kali membebankan guru-guru dan penyelaras LINUS. Hal ini dikongsi oleh seorang guru LINUS.
CADANGAN PENYELESAIAN ISU
Program LINUS 2.0 yang mula
diperkenalkan pada tahun 2011 banyak memberi kesan yang mendalam ke atas dunia
pendidikan di Malaysia. Ianya adalah usaha KPM dalam menangani masalah buta
huruf yang masih lagi berada dalam statistik sejak merdeka hingga ke
hari ini. Berbagai-bagi usaha dan langkah serta program yang diperkenalkan dan
sentiasa diperbaharui semata-mata untuk menjadikan Malaysia sifar buta huruf.
Hasil dari kaji selidik yang dijalankan oleh para penyelidik menunjukkan
program LINUS dan LINUS 2.0 telah berjaya dan dapat mengurangkan jumlah pelajar
buta huruf. Sungguhpun begitu, beberapa kelemahan dan kekurangan terhadap modul
LINUS 2.0 perlu diperbaiki memandang usia program masih terlalu awal dan masa
yang sesuai perlu diberikan dan KPM tidak seharusnya terlalu rakus untuk
mendapatkan keputusan yang cepat dan cemerlang. Beberapa isu atau cabaran yang
telah dikenal pasti dalam menjalankan program LINUS.
Kajian
yang dilakukan oleh Aimi Liyana, Hanis Maisarah, & Nor Fairos, (2016) ke
atas guru di sebuah sekolah di Bangsar mendapati guru LINUS mengakui bahawa
mereka hadapi kesuntukan masa kerana bilangan pelajar yang ramai dan guru
terpaksa membimbing pelajar terutamanya bagi pelajar yang tidak memahami
langsung Bahasa Inggeris dan pada masa yang sama ujian saringan juga perlu
dijalankan serentak. Bagi mengatasi masalah ini cadangan supaya guru LINUS
perlu diberikan masa yang bersesuaian dan tiada tekanan dari mana-mana pihak
bagi memastikan guru memahami program tersebut dan proses ujian saringan
berjalan lancar ini adalah kerana semasa ujian saringan LINUS diadakan guru
LINUS dibenarkan membimbing pelajar yang kurang faham semasa mereka mejawab
soalan tidak seperti semasa peperiksaan-peperiksaan lain, maka masa yang
panjang dan sesaui perlu diberikan. Masalah masa yang sering diperkatakan tidak
lagi menjadi faktor kepada halangan dan cabaran dalam melaksanakan program
tersebut.
Selain
daripada itu, isu yang sering diperkatakan adalah guru LINUS tidak dapat
menumpukan sepenuh perhatian terhadap program LINUS kerana terlalu banyak
program dan kertas kerja sampingan yang dikehendaki oleh pihak sekolah dan KPM
ini telah diutarakan sendiri oleh sebilangan guru yang ditemubual di sekolah di
Bangsar oleh Aimi Liyana, Hanis Maisarah, & Nor Fairos, ( 2016) dalam
kajian persepsi guru terhdap LINUS. Cadangan supaya guru LINUS khususnya tidak
diberikan bebanan tugas yang terlalu banyak dan berat memandangkan mereka ini
terlibat secara langsung dalam program LINUS di samping tugas hakiki iaitu
mengajar di dalam kelas arus perdana juga supaya dapat menumpukan perhatian
yang lebih baik terhadap program. Perlu diketahui masa yang sesuai adalah
sangat penting dalam menghasilkan sesuatu tugasan supaya kesannya adalah
cemerlang. LINUS telah banyak mengubah pembangunan pendidikan di peringkat awal
dan mengurangkan statistik buta huruf dalam kalangan pelajar sekolah rendah di
Malaysia. Namun begitu ibu bapa tidak seharusnya mengharapkan 100% daripada
guru LINUS semata-mata, dan perlu memberi tumpuan dan perhatian kepada anak di
rumah selain diajar oleh guru di sekolah bagi membolehkan anak mereka berjaya dalam
ujian LINUS kelak. Menurut Aimi Liyana, Hanis Maisarah, & Nor Fairos,
(2016) guru berpendapat linus dan menyumbang kepada masyarakat celik huruf dan
meningkatkan sistem pendidikan negara bertaraf dunia, namun sokongan ibu bapa
amat perlu dalam menjayakan program ini. Ini adalah disebabkan oleh mata pelajaran
Bahasa Inggeris, KPM tidak menyediakan guru pemulihan bagi matapelajaran
tersebut berbanding dengan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik.
Dicadangkan
supaya penambahbaikan perlu dilakukan supaya KPM meneliti semula permasalahan
yang timbul kesan daripada ketiadaan guru pemulihan LINUS bagi mata pelajaran
Bahasa Inggeris. Guru pemulihan Bahasa Inggeris juga perlu disediakan sama
seperti kesediaan guru pemulihan LINUS Bahasa Melayu dan Matematik supaya ianya
menjadi ukuran yang standard dan dapat mencapai sasaran dan memberikan kesan
baik terhadap masyarakat dan sistem pendidikan di Malaysia. Guru juga
berpendapat bahawa program LINUS khususnya bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris,
KPM tidak meneliti dengan terperinci modul yang disediakan untuk guru-guru. KPM
hanya mengguna pakai 2 kemahiran yang ditekankan semasa ujian saringan LINUS
Bahasa Inggeris iaitu kemahiran membaca dan menulis semata-mata, sedangkan
menurut guru Bahasa Inggeris yang ditemu bual oleh Tubah & Hamid, (2011),
untuk mahir dalam mata pelajaran ini 4 kemahiran asas perlu diajar dan di latih
iaitu kemahiran membaca, menulis, mendengar dan bertutur. Penambahbaikan ke
dalam modul perlu diberi perhatian serius dengan memasukkan 2 kemahiran
mendengar dan bertutur yang tidak dititikberatkan semasa ujian saringan LINUS
diadakan sekarang ini.
Dapatan
kajian yang dilakukan oleh Peng, (2015) juga mendapati guru LINUS kurang dalam
kepakaran ilmu psikolinguistik (keupayaan mental dan bahasa). Guru yang dipilih
tidak mempunyai kepakaran dan tidak dihantar untuk menjalani latihan yang sewajarnya
bagi memperolehi ilmu psikolinguistik. Guru-guru LINUS perlu mempunyai
kepakaran untuk menentukan kesediaan pelajar, serta jelas tentang bimbingan
yang perlu disampaikan kepada pelajar LINUS. Selain itu, adalah penting bagi
guru-guru LINUS untuk memperoleh kaedah psikolinguistik pengajaran yang
menekankan keupayaan mental dan penguasaan bahasa. Kaedah pengajaran tersebut
mempunyai kesan yang mendalam kepada kemahiran bacaan dan kefahaman murid-murid
LINUS. KPM perlu membuat dasar supaya guru yang dilantik sebagai guru LINUS
perlulah diberikan latihan dan kursus yang secukupnya terutama dalam bidang
psikolinguistik supaya dapat memberikan kesan yang lebih baik untuk memberi
kemahiran kepada pelajar menguasai kemahiran literasi dan numerasi.
Pada peringkat sekolah rendah pula, program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) yang bertujuan untuk memastikan semua murid mencapai kemahiran literasi asas (Bahasa Malaysia dan Inggeris) dan kemahiran numerasi menjelang akhir Tahun 3 sudah dilaksanakan selama lapan tahun. Pada tahun 2017, kadar literasi Bahasa Malaysia, literasi Bahasa Inggeris dan numerasi masing-masing telah dicatatkan pada 98.3%, 95.7% dan 98.8%. Pelaksanaannya sejak lapan tahun lalu telah menjadikan program tersebut satu aspek yang penting dalam pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Seterusnya, untuk memastikan semua murid sekolah rendah menguasai kemahiran literasi dan numerasi bukan sahaja pada tahap asas tetapi juga pada tahap yang lebih tinggi, sebuah program akan dibangunkan pada tahun 2018 dengan aspirasi untuk memberikan murid-murid Tahun 4 hingga 6 kemahiran literasi dan numerasi yang bersesuaian dengan sukatan pelajaran di sekolah (Laporan Tahunan Program Transformasi Negara, 2017). Secara keseluruhan, murid daripada kohort yang sama (2015-2017) menunjukkan penguasaan yang baik dalam literasi BM dan BI serta numerasi (Ekshibit 2-8). Murid yang masih tidak dapat menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi akan dibantu dengan aktiviti intervensi pada Tahun 4 bagi memastikan mereka dapat mengikuti pembelajaran bersama-sama rakan mereka yang lain.
Berdasarkan isu kajian literatur dan
Laporan Tahunan Program Transformasi Negara 2017, wajarlah program
LINUS dihentikan. Ini bertepatan dengan Model Penilaian Provus’s Discrepancy. Model ini
adalah evolusi daripada model Tyler. Provus (1973) melihat penilaian merupakan
satu maklumat yang berterusan yang bertujuan untuk ‘memerhati’ pengurusan program.
Ciri-ciri utama model ini ialah, 1) mempersetujui standard (objektif), 2) menentukan
sama ada terdapat perbezaan wujud antara prestasi dan standard yang telah
ditetapkan, 3) menggunakan maklumat daripada perbezaan yang telah dikenal pasti
untuk membuat keputusan sama ada meningkatkan, mengekalkan, atau memberhentikan
program atas sebahagian daripada program tersebut.
Selain itu, program LINUS
dihentikan adalah kerana pihak sekolah akan melaksanakan program sendiri
mengikut kesesuaian bagi mengatasi masalah penguasaan kemahiran asas 3M iaitu
Membaca, Mengira dan Menulis dalam kalangan murid. Pendekatan sekarang, sama
ada peringkat kementerian, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat
Pelajaran Daerah (PPD) akan memberi sokongan kepada program dirangka pihak
sekolah masing-masing. Sehubungan dengan itu, setiap sekolah perlu ada
inisiatif sendiri merangka program masing-masing yang sesuai dengan keperluan
murid di sekolah mereka. Langkah menghentikan LINUS antara
lain kerana pihak KPM tidak mahu lagi menyediakan ‘pakej’ atau modul sesuatu
program dari atas ke bawah kementerian turun ke peringkat sekolah, sebaliknya
sekolah melaksanakan program mengikut ‘acuan’ sendiri (Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk
Dr. Amin Senin, 2019).
RUJUKAN
Aimi Liyana, K., Hanis Maisarah, M., & Nor Fairos, H.
(2016). Teachers' Perception On Literacy , Numeracy and Screening (LINUS 2.0)
Assessment Features Based On Year 1 Students' Performance . Research Journal of English Language and
Literature (RJELAL), 4(1).
Bahagian Pembangunan Kurikulum. (2014). LINUS 2.0: Literasi
Bahasa Inggeris (LBI). Teacher’s Module: LINUS 2.0: Literasi Bahasa Inggeris
(LBI). Book 3. Petaling Jaya, Selangor: Saryaz Holdings Sdn. Bhd.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2012-2015). Laporan Awal Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia. Retrieved from http://www.moe.gov.my/userfiles/file/PPP/Preliminary-Blueprint-BM.pdf.
Kementerian
Pendidikan Malaysia. (2018). Laporan Tahunan 2017. Retrieved from https://www.padu.edu.my/wp-content/uploads/2018/07/PADU-LAPORAN-TAHUNAN-BM-2017.pdf
Modul Linus. (2011). Ministry of Education. Malaysia. Peng,
C. (2015). Pelaksanaan Program Literasi dan Numerasi (LINUS) di Sekolah Rendah.
Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 5, (2) 1-11.
http://conference.kuis.edu.my/recit2016/images/eproceeding/ZAHANIM.pdf